Bantuan awal persekolahan dinaikkan kepada RM150 - Bajet 2023

Foto Kementerian Pendidikan Malaysia. Ini berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.


Kerajaan menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 dan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya pada tahun hadapan.


Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bantuan itu akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.


“Bagi tahun hadapan 2023, sukacita diumumkan, Bantuan Awal Persekolahan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya.


“Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga oranganak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak RM450 ringgit,” katanya.


Beliau berkata peruntukan yang disediakan untuk BAP ialah RM825 juta pada 2023, jauh melebihi peruntukan tahun ini iaitu RM450 juta dan akan dibayar mulai Januari tahun depan.


Tengku Zafrul menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) terus menerima peruntukan terbesar sebanyak RM55.6 bilion dalam belanjawan Persekutuan pada 2023 berbanding RM52.6 bilion tahun ini.


Selain itu, kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung manakala RM4 berbanding RM3 sebelum ini bagi Sabah, Sarawak dan Labuan yang berkuat kuasa pada bulan ini.


Katanya, RM777 juta yang disediakan itu akan memberi manfaat kepada lebih 800,000 murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan.


Sumber: Tengku Zafrul / Malaysiakini / Berita RTM

Post a Comment

0 Comments