7 Tahanan Imigresen Bolos Dari DTI Papar Diburu Polis - info

Tujuh tahanan imigresen yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen Papar diburu polis. – Foto PDRM / Berita RTM


PAPAR: Polis memburu tujuh tahanan imigresen yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar di sini, awal pagi tadi.


Semua tahanan terbabit dikatakan melarikan diri kira-kira jam 3.30 pagi dengan merosakkan bumbung tandas sebelum memotong pagar depoh tahanan berkenaan.


Mengikut laporan awal, seramai 14 tahanan dilaporkan melarikan diri, bagaimanapun sehingga jam 10.30 pagi tadi, tujuh daripada 14 tahanan berjaya ditahan semula.


Ketua Polis Daerah Papar, Batholomew Ak Umpit berkata, operasi mengesan semua tahanan yang melarikan diri sudah dilancarkan sejak awal pagi tadi.


Katanya, operasi turut dibantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Unit Anjing Pengesan K9 dan Pasukan Polis Marin (PPM).


Foto PDRM / Berita RTM


“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati semua tahanan yang melarikan diri berusia 22 hingga 43 tahun itu tinggal di blok tengah dan memanjat bumbung setinggi hampir dua meter.


“Mereka kemudian memotong pagar sebelum bertindak melarikan diri,” katanya dalam sidang media di IPD Papar, di sini.


Sehubungan itu, beliau memohon orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat untuk menangkap baki suspek yang melarikan diri.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta supaya berhubung dengan bilik gerakan IPD Papar di talian 088 916064 atau balai polis berhampiran untuk tindakan segera,” katanya.


Segala info-info tentang Artikel ini akan dikemaskini di sini atau join Telegram


Sumber: Sabahpost / Berita RTM

Post a Comment

0 Comments