COVID19 Sabah Catat Kes Tertinggi Dikesan Menerusi Saringan Bergejala


KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan 251 kes COVID-19 yang dikesan melalui saringan bergejala, iaitu antara tertinggi pernah direkodkan daripada jumlah keseluruhan jangkitan baharu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.


Beliau berkata jumlah tersebut adalah  51.22 peratus daripada 490 kes baharu yang direkodkan di negeri itu hari ini.


Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata Sandakan menjadi daerah mencatat kes tertinggi iaitu sebanyak 141 kes dengan  93 kes dikesan menerusi saringan bergejala.


“Ini (kes tinggi saringan bergejala) menandakan bahawa jangkitan ini sudah menyusup jauh dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.


Sementara itu, Masidi berkata Sabah terus merekodkan tambahan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Apas Batu Lima di Tawau, melibatkan 12 kes kumulatif setakat ini.


Beliau berkata bagi Kluster Jalan Apas, kes indeks adalah seorang pelajar perempuan tingkatan 5 yang dikesan positif melalui saringan bergejala pada 26 Jan lepas, dengan semua kontak rapat tidak bergejala diperintah menjalani kuarantin.


Dalam pada itu, Masidi berkata jumlah kes yang direkodkan hari ini menunjukkan peningkatan tinggi berbanding 367 kes dicatat semalam, manakala 252 pesakit sembuh dan 825 pesakit masih dirawat. – BERNAMA


Sumber: BERNAMA / Sabahpost


Post a Comment

0 Comments